Tuesday, September 22, 2009

Fletcher puji Owen

MANCHESTER: Darren Fletcher memuji aksi dramatik Michael Owen pada pertemuan klasik dua skuad Manchester dan menganggap pemain itu sebagai penjaring gol semula jadi.

Jaringan ketika masa kecederaan Owen bagi membolehkan United menang 4-3 itu akan kekal dalam ingatan dan Fletcher yang juga kapten Scotland itu percaya ia adalah petanda betapa besar kesan yang akan dilakukan bekas penyerang England itu di Old Trafford.

“Semua pergerakannya hebat,” kata Fletcher. “Hantaran Ryan Giggs cukup baik dan begitu juga dengan kawalan bola yang dilakukan Michael dengan menggunakan bahagian luar kaki kanannya sebelum menjaringkan gol dengan gaya sama.

“Seorang penjaring sejati mampu melakukan pergerakan yang hebat dan dalam tempoh beberapa bulan lagi, dia akan menjadi pemain penting buat kami.”
Fletcher juga berharap untuk mengungguli senarai penjaring apabila dia sendiri meledakkan dua jaringan menerusi tandukan ketika bertemu City.
“Saya gembira dapat melakukannya kerana saya terlepas beberapa peluang baik ketika awal musim,” katanya. “Memang hebat apabila dapat menjaringkan gol kali ini. Saya akan terus berbuat demikian selepas ini.”

Fletcher menafikan kenyataan yang menyebut wisel penamat seharusnya dibunyikan sebelum Owen menjaringkan gol kemenangan itu.

“Apabila anda terbabit dalam satu perlawanan, anda sendiri tidak tahu berapa banyak masa tambahan yang tinggal,” katanya. “Ada jaringan serta pertukaran pemain dan sehubungan itu, perlu ada masa yang ditambah. Sebagai pemain, anda hanya perlu terus bermain dan tidak memikirkan soal masa.

“Saya rasa kami berhak mendapat gol itu.”

Fletcher percaya aksi United malam kelmarin seharusnya memberi petanda kepada pendahulu liga, Chelsea mengenai hasrat juara bertahan itu untuk terus mempertahankan takhta Liga Perdana Inggeris, musim ini.

“Ramai yang mengatakan kami tidak akan mampu mengulangi kejayaan itu, tapi kami akan membuktikan bahawa mereka adalah salah,” katanya. “Ada kalanya anda perlu mengharungi tempoh yang sukar dan anda tidak boleh mengharapkan keputusan yang lebih baik daripada apa yang kami dapat.

“Anda sedar betapa kami sebenarnya mempunyai kualiti yang cukup. Lihat saja pemain kami dan anda akan berasa gembira dengan apa yang kami ada.”

Ehsan dari Harian Metro

No comments:

Para Pengunjung

free hit counter
Get a free hit counter here.

About Me

Seorang hambaMu yang mendamba kasihMu

Komen terkini