Saturday, August 1, 2009

Antara gambar anti ISA 1 Ogos 2009









8 faktor BN tewas lawan Anwar

Berdasarkan senario semasa, BN berdepan dengan satu tentangan yang amat luar biasa dan peluang untuk menguasai kerusi tersebut amat sukar berdasarkan faktor-faktor berikut:

Pertama, Umno sama ada di peringkat Permatang Pauh mahupun di peringkat negeri berada dalam keadaan yang amat lemah.

Transformasi politik di peringkat negeri telah melemahkan kedudukan Umno Pulau Pinang dan sehingga kini masih belum pulih dan terus bergolak.

Misalnya Umno Jelutong parah sehingga sumber berita menyatakan ahli-ahli cawangan meninggalkan parti untuk menyertai PKR.

Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain yang lemah dan mempunyai hubung kait dengan kelemahan dan perebutan kuasa dalaman yang sedang berlaku di peringkat persekutuan kesan daripada keputusan pilihanraya umum lepas.

Transformasi kerajaan negeri daripada BN kepada Pakatan Rakyat telah menyebabkan punca pendapatan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat bahagian tergendala.

Pemimpin-pemimpin peringkat ini tidak lagi mempunyai apa-apa peranan dalam negeri - dan keadaan ini turut menyumbang kepada kelemahan pentadbiran peringkat bahagian.

Berbeza sama sekali dengan Pakatan Rakyat yang semakin kukuh dari segi pengurusan organisasi.

Kedua, faktor calon akan menyumbang kepada prestasi parti dalam pilihanraya kecil namun sehingga kini calon umno belum diumumkan. Malah tawaran diri untuk bertanding oleh Mohamad Ezam Mohd Nor telah ditolak oleh Umno Permatang Pauh.

Manakala mufti Perlis walaupun ditawarkan untuk bertanding telah menolak.

Calon tempatan bersesuaian, namun kemungkinan besar akan berlaku sabotaj di peringkat bahagian sendiri kerana sekiranya calon BN dari Umno menang, beliau akan menjadi pemimpin besar baik di peringkat bahagian mahupun persekutuan.

Pemimpin bahagian yang tidak terpilih pula akan berusaha untuk menghalang kemenangan tersebut.

Calon PKR iaitu Anwar sendiri dilihat sebagai seorang calon gergasi - berbanding keupayaan berpidato calon BN yang amat kurang dalam kalangan pemimpin BN buat ketika ini.

Ketiga, keputusan kerajaan Persekutuan menangguhkan atau membatalkan beberapa projek mega yang dijanjikan kepada rakyat Pulau Pinang telah meningkatkan perasaan tidak berpuas hati di kalangan rakyat negeri.

Walaupun perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi sendiri anak negeri itu, tindakan kerajaan pimpinannya telah ditafsirkan sebagai satu keputusan politik untuk "membalas dendam". Perkara ini dijangka menjadi satu isu dan akan diinterpretasikan dalam bentuk undi.

Kerajaan negeri, walaupun dikuasai oleh Pakatan Rakyat, namun masih terlalu awal untuk menilai keupayaan dan kebolehan pentadbiran.

Pemimpin-pemimpin negeri akan mengadu bahawa kerajaan persekutuan menganaktirikan kerajaan negeri dan gagal memberikan bantuan sewajarnya walaupun rakyat Pulau Pinang turut menyumbang dari segi bayaran cukai.

Keempat, kenaikan harga barang, petroleum dan situasi ekonomi yang tidak menentu juga turut menjadi isu. Walaupun pilihanraya umum telah berlalu, namun setakat ini kerajaan persekutuan masih belum bergerak dengan pantas kerana perebutan kuasa dalam Umno.
Perebutan kuasa dan usaha-usaha berterusan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti telah menghalang penumpuan dalam tugas-tugas kerajaan. Hasilnya, usaha-usaha untuk menangani kemelesetan ekonomi dan isu-isu yang mempunyai kepentingan rakyat terbantut.

Keadaan ini menyebabkan taraf kehidupan rakyat semakin terancam dan terganggu. Ia akan menimbulkan ketidakpuasaan hati yang akan mendorong pemilih untuk tidak mengundi calon BN.

Isu-isu projek mega yang gagal dan isu komisen akan turut berkumandang. Misalannya projek MRR2. Projek tersebut dibina dengan kos RM238 juta, kemudian baik pulihnya menelan lagi kos RM70juta dan kini lebuhraya jejambat itu kembali retak.

Kelima, kes moral yang ditimbulkan semula mempunyai kesan timbal balas kepada parti pemerintah. Majoriti tidak bersetuju dan tidak percaya tuduhan terbaru terhadap Anwar.

Kajian Merdeka Center membuktikan masyarakat tidak menerima tuduhan tersebut dan menganggap laporan polis ke atas Anwar satu konspirasi politik. Dalam situasi yang sedemikian, Umno sebenarnya terperangkap.

Sekiranya tuduhan dikenakan ke atas Anwar sebelum tarikh penamaan calon, maka dunia akan melihat tindakan tersebut sebagai satu usaha kerajaan BN untuk menghalang beliau daripada kembali ke dalam arus perdana politik negara tetapi sekiranya Pejabat Peguam Negara berpendapat, tidak ada fakta untuk didakwa di mahkamah, maka dunia akan turut menyalahkan parti pemerintah kerana cuba membina kes palsu untuk menghalang kebangkitan Anwar.

(Anwar telah dituduh di mahkamah atas tuduhan mengadakan hubungan seks luar tabii sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] mengumumkan tarikh 16-26 Ogos untuk pilihanraya kecil Permatang Pauh - editor)

Keenam, tidak dilupakan juga pengundi Cina dan India. Gabungan dua kumpulan pemilih tersebut 17,826 undi yang merupakan satu jumlah yang agak besar.

Dalam situasi sekarang, tidak keterlaluan sekiranya dinyatakan sebilangan besar daripada dua kumpulan masyarakat tersebut tidak akan mengundi parti pemerintah. Tahap ketidakpuasaan hati mereka lebih tinggi terhadap Umno daripada MCA atau MIC.

Sikap pemimpin Umno yang celupar dan menghina kumpulan pengundi bukan Melayu dengan memanggil sebagai 'penderhaka' kerana mengundi pembangkang akan ditiupkan sebagai satu isu.

Malah keengganan pemimpin MIC untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa akan turut menjauhkan masyarakat India daripada MIC dan BN. Kedudukan MIC baik di peringkat negeri mahupun bahagian juga lemah.

Kemasukan masyarakat Cina bersama PKR dan masalah dalaman MCA juga akan turut menyumbang undi pengundi cina kepada PKR. Manakala Gerakan dan PPP berada dalam situasi yang sangat lemah untuk memberikan apa-apa impak untuk memenangi hati pengundi.

Ketujuh, Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) tetap merupakan satu kuasa politik masyarakat India yang akan membantutkan usaha untuk memenangi hati pengundi India. Keengganan kerajaan untuk membebaskan kelima-lima pemimpinnya ditafsirkan sebagai keengganan Umno, dan bukan keputusan BN.

Anggapan ini muncul kerana kesemua komponen BN dari Semenanjung telah menggesa kerajaan agar membebaskan kelima-lima pemimpin Hindraf kecuali Umno.

Anwar menjanjikan pembebasan kelima-lima pemimpin tersebut dan sudah tentu ia akan mempengaruhi minda pemilih India. Oleh yang demikian sudah tentu pengundi India akan melihat Umno dari perspektif negatif.

Malah kedudukan dari segi jawatan kerajaan untuk masyarakat India bawah kerajaan Pakatan Rakyat lebih menonjol berbanding kerajaan persekutuan.

Kelapan, walaupun BN masih mempunyai kelebihan kerana menguasai media, sumber kewangan dan jentera kerajaan, namun P44 bukanlah satu laluan mudah untuk dimenangi.

Sekiranya kerajaan persekutuan membuat pelaburan secara besar-besaran seperti yang dilakukannya dalam pilihanraya Ijok atau menumpukan terlalu banyak masa untuk menonjolkan isu moral atau melaksanakan strategi serangan peribadi ke atas Dr Wan Azizah, ia akan mengundang lebih banyak tindak balas negatif daripada pemilih.

Berdasarkan analisis ini, saya berpendapat Anwar akan memenangi kes beliau di "mahkamah rakyat" dengan kuasa majoriti sekurang-kurangnya 20,000 undi.

Bagaimanapun tidak dinafikan kedua-dua pihak mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kedua-dua parti yang bertanding harus bekerja untuk memenangi hati rakyat. Sebarang kesilapan atau tindakan keterlaluan boleh menyebabkan kekalahan.

Pendekatan bersopan wajar menjadi pegangan. Pilihanraya ini sebenarnya satu medan yang terbaik untuk penganalisis politik menjalankan kajian akan peranan kuasa rakyat.

'Malaysia baru' Anwar pukau pengundi




Kebangkitan kembali Anwar Ibrahim dalam arena politik negara adalah satu kejutan di luar jangkaan. Ramai penganalisis politik pada awalnya berpendapat karier politik beliau telah tamat sewaktu terpenjara.

Maka, wajar beliau dibebaskan untuk menerima rawatan kesihatan bagi sakit tulang belakang atas sifat perikemanusiaan.

Lebih-lebih lagi apabila parti serpihan Umno, PKR hanya mempunyai kekuatan satu kerusi parlimen yang disandang oleh isterinya melalui pilihanraya umum 2004.

Namun semua persepsi akan matinya karier politik Anwar berjaya dipadamkan dalam sekelip mata melalui agenda "Harapan Baru Untuk Malaysia" dalam pilihanraya ke-12.

Sekiranya dianalisis, PKR telah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan sejak pilihanraya negeri Sarawak pada 2006 lagi.

Keupayaan parti ini untuk memenangi kerusi DUN Sarawak, dan hampir kesemua kerusi yang disandang oleh BN telah berjaya dikurangkan undi majoritinya, sesuatu yang di luar jangkaan.

Bagaimanapun penganalisis di Semenanjung gagal menginterpretasikan mesej yang cuba dihantar oleh pengundi dari Sarawak.

Sekilas lalu, Anwar antara pemidato yang dikenali dengan gaya percakapan yang mampu memukau para pendengar. Penglibatan beliau dalam politik telah bermula sejak zaman masih remaja dan bakat muda beliau lebih menonjol semasa menjadi penghuni Universiti Malaya.

Pada 1974, beliau melancarkan demonstrasi besar-besaran apabila ada laporan media yang menyatakan, penduduk Baling, Kedah mati kerana kelaparan.

Hasil demonstrasi tersebut, beliau ditahan bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama 22 bulan tetapi dalam senyap-senyap kerajaan BN terpaksa mengambil tindakan proaktif untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Kerajaan telah melancarkan skim-skim baru untuk mempertahankan harga getah, stok negara untuk getah, penubuhan pembangunan getah Risda, memberikan hak milik tanah kepada penduduk luar bandar, membina pusat asuhan kanak-kanak untuk menjaga anak penoreh getah dan sebagainya.

Kesemua ini telah dilaksanakan oleh kerajaan selepas demonstrasi Baling 1974.

Apabila beliau menyertai Umno pada awal 1980-an, ramai pemimpin muda terutamanya dalam PAS kecewa kerana Anwar dilihat sebagai seorang pemimpin yang mempunyai keupayaan untuk membawa Islam ke alaf baru. Dalam bahasa Anwar, "beliau mahu membersihkan tong tahi dari dalam."

Walau Tun Dr Mahathir Mohamad perdana menteri ketika itu, namun Tengku Razaleigh Hamzah adalah pemimpin utama yang memainkan peranan untuk membawa Anwar bersama Umno.

Hasil usaha Ku Li, Anwar dibebaskan daripada ISA dan kemudiannya dibawa masuk ke dalam Umno. Jawatan pertama yang ditandangi oleh Anwar selepas beberapa bulan menyertai parti Melayu itu adalah ketua Pemuda.

Beliau memenangi jawatan tersebut dengan undi yang amat tipis dalam sekitar 25 undi sahaja. Namun keakraban beliau dengan Dr Mahathir mengembangkan pengaruhnya dalam parti.

Dalam tempoh masa 17 tahun, Anwar berjaya menguasai parti sehingga mencapai jawatan timbalan presiden sekali gus menduduki kerusi timbalan perdana menteri.

Umum berpendapat sekiranya beliau berkompromi dengan Dr Mahathir sewaktu krisis kewangan pada 1997-1998, kemungkinan besar beliau telah menduduki kerusi perdana menteri yang menjadi idaman setiap ahli politik.

Tetapi keseluruhan lanskap politik negara telah berubah apabila Anwar mengambil keputusan untuk melawan arus politik negara.

Sejak beliau tumbang daripada singgahsana kuasa, boleh dikatakan secara konsisten beliau bercakap atas paksi kuasa rakyat dan selepas 10 tahun berada di luar Dewan Rakyat, kini beliau sekali lagi beradu tenaga mencuba nasib untuk kembali ke kerusi parlimen yang sekali gus mungkin membuka ruang untuk beliau menjadi perdana menteri keenam negara.

Kerusi parlimen P44 boleh dikatakan secara tradisinya adalah milik Anwar sejak tahun 1982. Sebelum itu, kerusi tersebut kubu luat PAS. Dalam pilihanraya tersebut, beliau bertanding atas tiket BN menentang calon PAS, Zabidi Ali dan menang dengan majoriti 14,352 undi.

Pada 1986, beliau ditentang oleh Mohamad Sabu, tokoh muda PAS waktu itu (sekarang naib presiden). Walaupun menang tetapi Mohamad berjaya mengurangkan undi majoriti kepada 10,479.

Pada 1990, di kala Umno masih mengalami luka parah akibat pengharamannya dan perebutan kuasa yang menyebabkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46, Anwar masih berjaya mengekalkan kerusi beliau dengan undi majoriti sebanyak 16,150 dengan mengalahkan Mahfuz Omar (bekas ketua Pemuda PAS, kini ketua penerangan).

Pada 1995, DAP meletakkan calon Melayu di kawasan tersebut dan keadaan ini membuka ruang lebih besar kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat dengan majoriti yang lebih besar iaitu 23,515 undi.

Calon DAP itu Abdul Rahman Manap. Bagaimanapun tiada siapa menduga, tahun itu merupakan pilihanraya terakhir bagi Anwar kerana belum sempat pilihanraya seterusnya diadakan, beliau telah ditumbangkan daripada singgahsana politik Umno.

Krisis kewangan yang kemudiannya berubah wajah kepada krisis perebutan kuasa dalam Umno menyebabkan Anwar dipecat dan dihumban ke dalam penjara.

Walaupun tuduhan liwat dikenakan, namun kebangkitan rakyat memuncak apabila beliau hadir ke mahakamh dengan mata lebam.

Dr Mahathir mengisytiharkan Parlimen dibubarkan pada 1999 dua bulan sebelum Ramadan bermula kerana situasi bulan itu yang boleh dikatakan majoriti masjid dan surau telah dikuasai oleh pengikut Anwar.

Dr Mahathir khuatir, Ramadan akan digunakan secara maksimum untuk menghasut masyarakat Melayu untuk mengundi menentang Umno. Lagipun ketika itu, tempoh Dewan Rakyat untuk dibubarkan semakin hampir.

Dengan hati yang terguris air mata, Dr Wan Azizah Wan Ismail, seorang surirumah dan bekas doktor gigi, bangkit mempertahankan suaminya dan meneruskan perjuangan politik bagi pihak kekandanya.

Parti Keadilan Nasional dengan wajah baru untuk rakyat Malaysia tanpa mengenal bangsa dan agama ditubuhkan pada April 1999, lima bulan sebelum pilihanraya umum.

Dalam pilihanraya tahun itu, Dr Wan Azizah bertanding di kerusi P44 Permatang Pauh dan ditentang oleh bekas setiausaha politik Anwar sendiri dan juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Dr Ibrahim Saad.

Ramai berpendapat tujuan utama Dr Mahathir meletakkan Dr Ibrahim untuk membunuh karier politik rakan Anwar itu kerana sudah menjadi rahsia umum beliau seorang kroni Anwar.

Kalau menang, Dr Ibrahim mempunyai masa depan yang cerah. Kalau kalah, yang akan terkubur Dr Ibrahim dan bukannya Umno.

Dalam pillihanraya umum tersebut, Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 9,077 undi. Beliau menerima 23,820 undi, manakala Dr Ibrahim menerima 14,473 undi.

Boleh dikatakan dalam pilihanraya 1999, Umno telah diselamatkan oleh pengundi bukan Melayu. Namun sumbangan bukan Melayu dilupakan begitu sahaja selepas pilihanraya umum 2004.

Pada tahun itu, BN telah meletakkan bekas imam besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail untuk bertanding menentang Dr Wan Azizah. Namun faktor Anwar telah memberikan kemenangan solo kepada PKR.

Isterinya memenangi 21,737 undi, manakala Pirdaus menerima 21,147 undi. Dr Wan Azizah menang dengan majoriti tipis 590 undi - itu pun selepas pengiraan semula pada hari berikutnya.

Selepas pilihanraya tersebut, Umno menjangkakan PKR akan berkubur atau kembali merujuk Umno dalam masa terdekat. Namun kesemua jangkaan itu meleset.

Pilihanraya umum 8 Mac lalu menjadi satu titik perubahan dalam sejarah politik negara.

Anwar yang kembali daripada menerima rawatan sakit tulang belakang pada awalnya (setelah dibebaskan pada penghujung 2004) menggunakan "jaringan antarabangsanya" untuk menguatkan semula perhubungan beliau dengan negara-negara luar dan hampir setiap bulan berada di luar negara sama ada atas undangan pemimpin negara-negara yang dikunjungi atau untuk sesi ceramah di universiti-universiti terkemuka dunia.

Beliau kemudiannya mengalihkan pandangan kepada politik dalam negara dan menjanjikan "Malaysia Baru" sekiranya diberikan kepercayaan untuk kembali memimpin negara.

Berbekalkan kelemahan pemimpin BN dengan politik perkauman yang tebal, Anwar menggubal manifesto yang menjanjikan "Malaysia Baru."

Setuju atau tidak, terpulang kepada pembaca untuk menilai, janji untuk memberikan Malaysia Baru telah berjaya mempengaruhi massa untuk memberikan kepercayaan kepada gabungan tiga parti yang kemudiannya dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Hasilnya empat negeri baru jatuh tersungkur kepada kepada Pakatan dan cengkaman ke atas negeri Kelantan terus diperkukuhkan.

Lebih mengejutkan, kuasa dua pertiga luntur daripada BN dan apabila masyarakat Malaysia bangun pada pagi 9 Mac lalu, pancaran matahari pagi seolah-olah menjanjikan harapan baru untuk Malaysia.

Untuk Anwar kekal relevan dalam politik, isterinya mengisytiharkan mengosongkan kerusi P44 untuk memberi laluan kepada suaminya. Walaupun pelbagai spekulasi dan teori dikemukakan termasuk pengosongan kerusi sebagai satu strategi untuk menghalang tindakan undang-undang terhadapnya dalam kes moral, namun perkembangan tersebut sebenarnya menjadi satu medan politik yang terbaik untuk membuktikan kuasa rakyat.

Persoalannya, apakah BN sebagai kerajaan pusat mampu mengalahkan Anwar di P44 Permatang Pauh dengan kerajaan negeri dikuasai oleh Pakatan Rakyat?

P44, berdasarkan senarai pengundi yang digunakan dalam pilihanraya ke-12 mempunyai 58,449 pengundi. Pecahannya menunjukkan pemilih Melayu adalah majoriti dengan bilangan 40,563 atau 69.4 peratus. Pemilih Cina pula 14,320 orang atau 24.5 peratus, manakala India 3,507 orang atau 6 peratus.

Peratus keluar mengundi dalam pilihanraya itu tinggi iaitu 47,288 orang (81.8 peratus), manakala undi rosak pula 110.

Dalam kerusi parlimen ini terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti. BN hanya menguasai Seberang Jaya dengan majoriti 533 undi. Majoriti tersebut telah berkurangan daripada 4,464 uni yang dimenangi dalam pilihanraya 2004.

Permatang Pasir dikuasai PAS, manakala Penanti dimenangi oleh calon PKR, Mohammad Fairus Khairuddin yang kemudiannyadilantik timbalan ketua menteri I Pulau Pinang. Kedua-dua kerusi tersebut dimenangi Pakatan Rakyat dengan majoritilebih besar berbanding 2004.

Perogol & Pembunuh Syafiqah


# Klik pd gambar utk paparan lebih jelas

# Klik pd gambar utk paparan lebih jelas

Sumber dari Harian Metro

Para Pengunjung

free hit counter
Get a free hit counter here.

About Me

Seorang hambaMu yang mendamba kasihMu

Komen terkini