Tuesday, July 7, 2009

Stareh Minda

IBNU Abbas RA ialah sahabat Nabi SAW yang digelar sebagai hibr al-ummah atau tinta umat kerana kehebatan ilmu, khasnya dalam memahami al-Quran seperti doa yang dimohon Baginda untuknya. Ibnu Abbas mempunyai pendirian unik dan patut kita miliki agar kita hidup tenang, tenteram dan bersahaja seperti beliau. Ibnu Abbas berkata: "Dalam diriku ada tiga keistimewaan; tidaklah hujan turun ke muka bumi, melainkan aku pasti memuji Allah dan bergembira dengannya, meskipun aku tidak mempunyai kambing dan unta; tidaklah aku mendengar seorang hakim yang berlaku adil kecuali aku sentiasa mendoakan kebaikan untuknya walaupun aku tidak mempunyai perkara apa pun yang mesti dia putuskan; dan tidaklah aku memahami maksud suatu ayat dalam kitab suci Allah, melainkan aku selalu ingin orang lain juga mengetahui isi ayat itu seperti aku mengetahuinya." Demikian antara kecintaannya untuk melakukan kebaikan terhadap sesama manusia, penyebaran nilai keutamaan di antara mereka, usaha untuk menyelamatkan hati mereka nasihat untuk semua makhluk. Ia datang dari lubuk hati yang suci dan ikhlas yang menganggap semua insan sebagai saudara dan bukan insan sebagai sesama makhluk Allah.

Ini berlainan dengan apa yang dikatakan bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat era Bush, Al-Gore Khamis lalu di Oxford University, England seperti dikutip Fox News, Jumaat lalu. Dalam ucapannya, dia berkata: "Perlu diketahui oleh anda semua, melawan perubahan iklim yang semakin parah, harus sama kuatnya ketika dunia melawan Hitler dengan ideologi Nazi." Sebelumnya, dia berkata: "Kita mengenal Winston Churchill sebagai wira dalam Perang Dunia II". Dalam melawan pemanasan global, kita memang memerlukan kebijakan politik. Namun itu saja tidak cukup, ia perlu sesuatu yang lebih untuk melawan itu semua. Menyamakan Hitler dengan pemanasan global ialah persamaan tidak masuk akal bagi fikiran yang lurus dan tenang, namun bagi fikiran yang kusut, ia mungkin sesuatu yang masuk akal. Hitler ialah manusia manakala pemanasan global adalah bencana alam. Kedua-duanya berbeza kecuali dari sudut natijah berdasarkan orang yang memandangnya. Ketika fikiran manusia terganggu oleh sesuatu, maka perkara luas menjadi sempit dan yang bagus menjadi buruk serta sesuatu yang menggembirakan berubah sedih.
Dalam hadis sahih disebutkan seorang Arab Badwi solat berjemaah bersama Rasulullah SAW. Pada saat tasyahhud, dia membaca doa: "Ya Allah, berikan rahmat-Mu kepadaku dan kepada Nabi Muhammad dan janganlah Engkau berikan rahmat-Mu kepada selain kami." Selesai solat, Rasulullah berkata kepada orang Badwi itu: "Engkau membuat sesuatu yang luas menjadi sempit." Sesungguhnya rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu firman Allah maksudnya: "...dan Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman." (Surah al-Ahzab: 43) Ketika fikiran tenang segala sesuatu di depan mata nampak jernih dan semua berjalan lancar serta mudah. Sebaliknya, ketika fikiran kusut segala di depan kita nampak buntu dan semua terhenti atau tertutup kerana dalam fikiran tenang ada tafa'ul, optimistik dan dalam fikiran kusut ada tasya'um, pesimistik. Tafa'ul adalah natijah daripada tauhid, manakala tasya'um adalah natijah daripada syairik. Kita diperintah Allah dan selalu membaca doa diajar-Nya bermaksud: "(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat di sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jua Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya." (Surah Ali Imran: 8)
Fikiran tenang ialah buah keimanan yang membimbing kita untuk melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dikenali sebagai takwa. Orang beriman dan memiliki fikiran tenang sentiasa beramal salih. Ketika beramal dia teringat janji Tuhan bermaksud: "Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa daripada amal yang salih, sedang dia beriman, maka tidaklah (seharusnya) dia berasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikit pun daripada pahalanya." (Surah Taha: 112) Padahal dalam ayat sebelumnya, Allah menegaskan bermaksud: "Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah yang maha hidup, lagi yang kekal mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman." (Surah Taha: 111) Seorang yang berfikiran tenang tidak tergopoh-gopoh ketika melakukan kesilapan atau kesalahan kerana dalam dirinya tertanam pengajaran yang diperoleh daripada hadis bahawa Rasulullah SAW sedang solat berjemaah. Selesai solat ada seseorang berdiri dan berkata kepada Rasulullah: "Aku melakukan suatu dosa dan harus dikenakan hukuman, maka jatuhkanlah hukuman itu padaku." Rasulullah SAW bertanya: "Apakah tadi engkau solat berjemaah bersama kami?" "Ya," jawab orang itu. Rasulullah pun bersabda: "Pergilah, Allah sudah mengampuni dosamu." (Hadis riwayat Muslim) Bukankah Allah berfirman maksudnya: "Dan sesiapa yang berbuat dosa atau berbuat zalim terhadap dirinya sendiri, kemudian memohon ampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Nisa: 110) Dengan ketenangan fikiran, empat perkara boleh kita sedari. Pertama, jika kita tidak hidup dalam batasan hari ini, tentu fikiran kita melayang ke mana-mana. Seterusnya, urusan menjadi kacau-bilau dan kedukaan kita lebih banyak. Inilah makna hadis yang bermaksud: "Apabila engkau berada pada waktu pagi, jangan menunggu datangnya petang dan apabila engkau berada pada petang, jangan menunggu datangnya pagi". Kedua, melupakan masa lalu dan semua yang terjadi. Tumpukan diri pada masa kini kerana memikirkan masa lalu dan sesuatu yang sudah selesai adalah kebodohan dan menyebabkan kegilaan. Ketiga, tidak menyibukkan diri dengan masa depan, sebab ia masih berada di alam ghaib. Jangan fikirkan sehingga ia datang. Keempat, jangan mudah tergoncang oleh kritikan. Teguhkan pendirian menghadapinya dan sedarlah kritikan itu mengangkat harga diri setara dengan kritikan itu. Di samping doa Nabi Musa AS untuk menenangkan fikiran ada juga doa yang dibaca oleh belia beriman yang menyelamatkan diri daripada kezaliman penguasa ketika itu. Ia juga doa untuk penjernihan fikiran kita. Doa itu bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan beri kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami." (Surah al-Kahfi: 10)

Bulan Rejab

Rejab adalah salah bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam dan ia menduduki senarai ketujuh bulan Qamariyyah.
Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan (yang sudah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati, ketetapan yang demikian ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangannya). Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa". Empat bulan yang dihormati yang tersenarai dalam ayat berkenaan ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Inilah yang sudah dipersetujui kalangan mufassirin. Penghormatan terhadap Rejab bersempena penghormatan yang sudah diberikan kepadanya sejak zaman jahiliah lagi yang mana mereka mengharamkan peperangan pada bulan itu. Inilah sesuatu pengiktirafan oleh Allah SWT ke atas Rejab disamping bulan haram yang lain. Sejarah Islam turut mencatatkan beberapa peristiwa penting berlaku pada Rejab, di antaranya:
Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama Islam. Ia peristiwa perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis dan kemudian diangkat ke langit untuk bertemu Allah SWT. Di sinilah bermulanya kefarduan solat lima waktu kepada umat Muhammad SAW.
Peristiwa Hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa sahabat Rasulullah SAW termasuk Saidina Uthman Bin Affan dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah SAW. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri berikutan tekanan dan ancaman hebat oleh puak Musyrikin Mekah ketika itu.
Peristiwa Perang Tabuk yang berlaku pada tahun ke-9 Hijrah. Ia peperangan yang menguji iman sahabat kerana berlaku pada musim panas. Pertempuran ini dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke Semenanjung Tanah Arab. Walaubagaimana pun pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom membatalkan hasrat mereka lantaran perasaan gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam. Selain itu, ada juga peristiwa penting lain yang berlaku pada bulan yang mulia ini seperti kelahiran imam ahli sunnah, Imam As-Shafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanah air iaitu dalam bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi. Demikian juga peristiwa bersejarah pembebasan semula Palestin dan kota Baitulmaqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi daripada kekuasaan tentera salib juga berlaku pada Rejab iaitu sekitar 27 Rejab 538 Hijrah.
Ada sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat pada Rejab dan ada yang akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang dilakukan itu ada fadilatnya yang khusus. Tidak kurang juga umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan lain. Namun, kebanyakan ulama mutakhirin menyatakan tanggapan ibadat sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tidak benar. Apa yang pasti, bulan ini termasuk dalam kelompok bulan haram yang mana umat Islam digalakkan meningkatkan ibadat sunat sama ada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi. Hakikat ganjaran disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang beramal salih, hanya Dia saja yang Maha Mengetahui. Oleh kerana itu sudah sewajarnyalah baik pada Rejab ini dan juga bulan lain, diisi dengan perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya. Ada banyak hadis nabi dan ayat al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh itu, bersempena Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan seperti bulan yang lain iaitu:
Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah satu galakan daripada Allah SWT kepada umat Muhammad SAW seperti dinyatakan sebuah hadis qudsi riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud, "Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah SWT berfirman bahawa puasa itu adalah untukKu maka Akulah yang akan membalasnya". Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, beliau (Uthman) pernah bertanyakan kepada Said bin Jubair mengenai puasa Rejab. Said menjawab "Aku mendengar Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW berpuasa rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa".
Memperbanyak sedekah terutama kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Hakim bin Hizam yang bermaksud "Tangan yang diatas (pemberi) lebih baik dari dari tangan yang di bawah (penerima)".
Memperbanyakkan zikir dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah al-Ra'd ayat ke 28 yang bermaksud: "Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia". Demikianlah sebahagian amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan ini jika diamalkan penuh keikhlasan, sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dan sekali gus mengelak mereka terjerumus ke dalam perkara maksiat dan masalah sosial lain. Malangnya, amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam sama ada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya, mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terbabit dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah. Al-Imam al-Nawawi mengkhususkan suatu bab dalam karya ulungnya Riyadhus Salihin, mengenai keutamaan beriltizam dengan surah tertentu dan juga wirid yang khusus sebagai satu komponen yang penting membentuk peribadi salih. Ini termasuk keutamaan membaca al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Mulk dan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq & al-Naas).

Para Pengunjung

free hit counter
Get a free hit counter here.

About Me

Seorang hambaMu yang mendamba kasihMu

Komen terkini