Tuesday, July 7, 2009

Bulan Rejab

Rejab adalah salah bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam dan ia menduduki senarai ketujuh bulan Qamariyyah.
Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan (yang sudah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati, ketetapan yang demikian ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangannya). Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa". Empat bulan yang dihormati yang tersenarai dalam ayat berkenaan ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Inilah yang sudah dipersetujui kalangan mufassirin. Penghormatan terhadap Rejab bersempena penghormatan yang sudah diberikan kepadanya sejak zaman jahiliah lagi yang mana mereka mengharamkan peperangan pada bulan itu. Inilah sesuatu pengiktirafan oleh Allah SWT ke atas Rejab disamping bulan haram yang lain. Sejarah Islam turut mencatatkan beberapa peristiwa penting berlaku pada Rejab, di antaranya:
Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama Islam. Ia peristiwa perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis dan kemudian diangkat ke langit untuk bertemu Allah SWT. Di sinilah bermulanya kefarduan solat lima waktu kepada umat Muhammad SAW.
Peristiwa Hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa sahabat Rasulullah SAW termasuk Saidina Uthman Bin Affan dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah SAW. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri berikutan tekanan dan ancaman hebat oleh puak Musyrikin Mekah ketika itu.
Peristiwa Perang Tabuk yang berlaku pada tahun ke-9 Hijrah. Ia peperangan yang menguji iman sahabat kerana berlaku pada musim panas. Pertempuran ini dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke Semenanjung Tanah Arab. Walaubagaimana pun pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom membatalkan hasrat mereka lantaran perasaan gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam. Selain itu, ada juga peristiwa penting lain yang berlaku pada bulan yang mulia ini seperti kelahiran imam ahli sunnah, Imam As-Shafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanah air iaitu dalam bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi. Demikian juga peristiwa bersejarah pembebasan semula Palestin dan kota Baitulmaqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi daripada kekuasaan tentera salib juga berlaku pada Rejab iaitu sekitar 27 Rejab 538 Hijrah.
Ada sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat pada Rejab dan ada yang akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang dilakukan itu ada fadilatnya yang khusus. Tidak kurang juga umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan lain. Namun, kebanyakan ulama mutakhirin menyatakan tanggapan ibadat sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tidak benar. Apa yang pasti, bulan ini termasuk dalam kelompok bulan haram yang mana umat Islam digalakkan meningkatkan ibadat sunat sama ada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi. Hakikat ganjaran disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang beramal salih, hanya Dia saja yang Maha Mengetahui. Oleh kerana itu sudah sewajarnyalah baik pada Rejab ini dan juga bulan lain, diisi dengan perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya. Ada banyak hadis nabi dan ayat al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh itu, bersempena Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan seperti bulan yang lain iaitu:
Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah satu galakan daripada Allah SWT kepada umat Muhammad SAW seperti dinyatakan sebuah hadis qudsi riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud, "Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah SWT berfirman bahawa puasa itu adalah untukKu maka Akulah yang akan membalasnya". Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, beliau (Uthman) pernah bertanyakan kepada Said bin Jubair mengenai puasa Rejab. Said menjawab "Aku mendengar Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW berpuasa rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa".
Memperbanyak sedekah terutama kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Hakim bin Hizam yang bermaksud "Tangan yang diatas (pemberi) lebih baik dari dari tangan yang di bawah (penerima)".
Memperbanyakkan zikir dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah al-Ra'd ayat ke 28 yang bermaksud: "Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia". Demikianlah sebahagian amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan ini jika diamalkan penuh keikhlasan, sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dan sekali gus mengelak mereka terjerumus ke dalam perkara maksiat dan masalah sosial lain. Malangnya, amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam sama ada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya, mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terbabit dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah. Al-Imam al-Nawawi mengkhususkan suatu bab dalam karya ulungnya Riyadhus Salihin, mengenai keutamaan beriltizam dengan surah tertentu dan juga wirid yang khusus sebagai satu komponen yang penting membentuk peribadi salih. Ini termasuk keutamaan membaca al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Mulk dan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq & al-Naas).

Monday, July 6, 2009

Istana Khir Toyo?

Rumah mewah milik Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam mencetus kontroversi kerana kosnya dikatakan melebihi kemampuannya atau menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

khir toyo mansion 060709 08ADUN Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran kos pembinaan rumah di kawasan seluas 50,000 kaki persegi atau 0.5 hektar itu, ialah RM20 juta, manakala tanahnya dibeli dengan harga RM3.8 juta.

"Beliau berhak untuk membina sebuah rumah sebesar mana sekalipun. Tetapi sebagai bekas menteri besar, beliau mesti menjelaskan bagaimana beliau membiayai pembinaan rumah tersebut," kata wakil rakyat DAP itu, yang membawa sekumpulan wartawan untuk menyaksikan rumah Dr Mohd Khir pagi tadi.

Rumah tersebut terletak di Jalan 1/7L di Seksyen 7, Shah Alam.

khir toyo mansion 060709 06Berbekalkan dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Ng menunjukkan bukti bahawa Dr Mohd Khir, 44, dan isterinya Zahrah Kechik, 44, memberi secara bersama tanah tersebut dari Ditamas Sdn Bhd pada 2007.

Dokumen itu menunjukkan bahawa seorang pengarah Ditamas - yang dikenali sebagai Shamsuddin Hayroni - didakwa Ng sebagai kawan Dr Mohd Khir.

Sambil menggelarkan rumah tersebut sebagai "istana bergaya Bali", Ng berkata, pakar industri pembinaan menganggarkan kos pembinaan dan kelengkapan rumah tersebut ialah kira-kira RM20 juta.

"Pintu gerbang sahaja berharga kira-kira RM290,000. Jubin yang anda lihat adalah diimport," katanya.

Ng juga mendakwa, rumah Dr Mohd Khir itu jauh lebih besar daripada bunglo 17 bilik yang dibina oleh allahyarham Zakaria Mat Deros sehingga mencetuskan kontroversi pada 2006.

khir toyo mansion 060709 01Merujuk pengisytiharan harta oleh Menteri Besar Selangor sekarang Tan Sri Khalid Ibrahim, Ng berkata pendapatan seorang menteri besar ialah RM576,000 setahun dan oleh itu, Dr Mohd Khir tidak mungkin dapat mengumpulkan wang yang cukup untuk membayar kosnya sebanyak RM24 juta.

Dr Mohd Khir seorang doktor gigi sebelum meningkat dalam hirarki Umno dan menjadi menteri besar pada 2001 ketika berusia 33 tahun.

Tiger Woods


PEMAIN golf Amerika, Tiger Woods mengangkat trofi kemenangannya setelah menjuarai perlawanan AT&T National di Bethesda, Maryland, awal pagi tadi. Tiger Woods memenangi kejuaraan dengan keputusan 13 di bawah par, lebihan satu pukulan dengan pencabarnya, Hunter Mahan.

Federer Cipta Sejarah


ROGER Federer melompat meraikan kejayaannya menewaskan Andy Roddick pada perlawanan akhir tenis lelaki Wimbledon di London, semalam.
Antara aksi Roger Federer semalam

LONDON - Roger Federer melakar sejarah tenis dunia dengan merangkul kejuaraan Grand Slam ke-15 selepas muncul juara Wimbledon menerusi kemenangan dramatik ke atas Andy Roddick pada perlawanan akhir, semalam.
Selepas dipaksa bertarung lebih empat jam, bintang Switzerland itu akhirnya menumpaskan Roddick 5-7, 7-6 (8-6), 7-6 (7-5), 3-6, 16-14 untuk menjulang gelaran Wimbledon keenam.
Kemenangan bersejarah itu tidak datang dengan mudah, sebaliknya Roddick memaksa Federer beraksi dalam pertarungan akhir Wimbledon paling panjang sebelum mengaku kalah.
Federer, 27, yang mengumpul enam kejuaraan Wimbledon, lima gelaran Amerika Syarikat, tiga trofi Terbuka Australia dan satu Terbuka Perancis mengatasi rekod 14 kejuaraan Grand Slam yang sebelum ini dikongsi bersama legenda tenis Amerika Syarikat, Pete Sampras.
Malah, kemenangan ini juga membolehkan bintang Switzerland itu merampas kembali takhta No. 1 dunia daripada jaguh Sepanyol, Rafael Nadal, pemain yang mengecewakannya dalam saingan akhir, tahun lalu.
Selain Sampras, turut menjadi saksi kejayaan bersejarah Federer di Kelab Seluruh England semalam ialah legenda tenis Australia, Rod Laver dan bintang tenis Sweden, Bjorn Borg.
Sebelum turun ke gelanggang, Federer sudah pun melakar sejarah dengan muncul pemain pertama melangkah ke final Wimbledon selama tujuh tahun berturut-turut.
Bagaimanapun semalam, Roddick memberikan tentangan yang mendebarkan apabila mengejar rapat Federer pada setiap set, malah memberi kejutan awal dengan memenangi set pertama.
Pada ketika Roddick mempamer semangat juang luar biasa, Federer mula menunjukkan ketahanan mental dan fizikal kental untuk mengecewakan pencabar dari Amerika Syarikat itu.
Bagi Roddick, kekalahan ini meranapkan impiannya untuk merangkul gelaran Grand Slam kedua selepas muncul juara Terbuka Amerika Syarikat 2003.
Ini juga adalah kekalahan ketiga jaguh Amerika Syarikat itu di tangan Federer dalam perlawanan akhir Wimbledon selain turut kalah pada 2004 dan 2005. - AFP

Dari Anfield ke Old Trafford


OWEN (kiri) ceria selepas menjalani ujian perubatan di Bridgewater Hospital, Manchester baru-baru ini.



"SAYA telah mengadakan perbincangan dengan kelab lain sehinggalah pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menghubungi saya pada pagi Rabu (1 Julai 2009) menjemput saya bersarapan pagi dengannya.
"Ferguson jelaskan dia berhasrat membawa saya ke United."
Demikian pengakuan Micheal Owen mengenai perpindahan pantas kurang daripada 48 jam ke United kerana perbincangan hanya bermula Rabu lalu dan diselesaikan sepenuhnya dua hari kemudian.
Penyerang yang akan mencecah usia 30 tahun pada 14 Disember depan itu telah menandatangani kontrak dua tahun bersama United dengan perpindahan percuma setelah kontraknya dengan Newcastle United berakhir pada 30 Jun lalu.
"Saya menyatakan persetujuan. Ini adalah peluang terbaik saya perlu menerimanya.
"Memang saya melalui kesuraman prestasi sepanjang berada di Newcastle tetapi keseluruhan karier saya adalah sangat baik.
"Saya yakin dengan menyertai kelab besar seperti United ini, ia dapat menghidupkan semula karier saya," jelas Owen.
Sering dilabel sebagai pemain yang kerap mengalami kecederaan, Owen menegaskan, dia sudah bersedia untuk mempertingkatkan tahap kecergasannya supaya dapat meyakinkan seluruh peminat United.
"Saya pasti ramai yang terkejut dengan keputusan ujian kesihatan saya ini. Saya lulus ujian dan kecergasan saya juga berada pada tahap tinggi," kata Owen.
Sejarah telah menunjukkan bahawa Owen sering mengalami kecederaan hamstring ketika dia bersama Liverpool dan selain mengalami masalah ligamen sepanjang berada di Newcastle.
Namun bagi Ferguson, itu semua tidak merisaukannya malah percaya Owen mampu mengembalikan sentuhannya.
"Owen merupakan penyerang kelas dunia dan dia telah membuktikannya dengan rekod sebelum ini," kata Ferguson.
Menyingkap perjalanan karier bola sepak Owen, anak keempat kepada pasangan Janette dan Terry Owen ini telah membesar dengan bermain bola sepak sejak kecil kerana bapanya, Terry merupakan bekas pemain bola sepak profesional.
Owen adalah peminat kelab Everton dan beraksi untuk pasukan sekolah rendahnya di Hawarden, Wales dengan memecahkan semua rekod jaringan pada pertandingan peringkat sekolah.
Ketika berusia 13 tahun, Owen menandatangani kontrak sebagai pemain remaja Liverpool biarpun sebelum itu dia telah mengadakan perbincangan dengan Chelsea, United dan Arsenal.
Akhirnya pada 1996 selepas dia tamat persekolahan di Lilleshall pada usia 16 tahun, Owen mula menyertai Skim Latihan Remaja Liverpool.
Pada tahun tersebut juga, Owen membantu Liverpool muncul juara Piala FA Remaja dengan menjaringkan gol pada perlawanan akhir untuk menewaskan West Ham yang ketika itu diwakili oleh Frank Lampard dan Rio Ferdinand.
Hanya empat bulan selepas itu, dia telah ditawarkan kontrak menyertai skuad senior Liverpool sejurus selepas menyambut hari jadinya ke-17 iaitu pada 18 Disember 1996.
Kemunculan pertamanya bersama Liverpool ialah ketika bertemu Wimbledon pada Mei 1997.
Namun, selepas lapan musim mencipta kejayaan di Liverpool, Owen mengorak langkah berhijrah ke kelab Sepanyol, Real Madrid pada musim 2004/05.
Namun hanya semusim dia bersama Real, Owen kembali semula ke England.
Pada Ogos 2005, Owen akhirnya sah menjadi milik Newcastle.
Namun, perpindahan Owen ke United menjadi sejarah kerana jarang sekali bekas pemain Liverpool atau United berpindah ke kelab musuh tradisi mereka itu.
Pemain terakhir yang berpindah secara terus melibatkan kedua-dua pasukan itu adalah Phil Chisnall yang berhijrah dari United ke Liverpool pada 1964.

Para Pengunjung

free hit counter
Get a free hit counter here.

About Me

Seorang hambaMu yang mendamba kasihMu

Komen terkini