ROGER Federer melompat meraikan kejayaannya menewaskan Andy Roddick pada perlawanan akhir tenis lelaki Wimbledon di London, semalam.
LONDON - Roger Federer melakar sejarah tenis dunia dengan merangkul kejuaraan Grand Slam ke-15 selepas muncul juara Wimbledon menerusi kemenangan dramatik ke atas Andy Roddick pada perlawanan akhir, semalam.
Selepas dipaksa bertarung lebih empat jam, bintang Switzerland itu akhirnya menumpaskan Roddick 5-7, 7-6 (8-6), 7-6 (7-5), 3-6, 16-14 untuk menjulang gelaran Wimbledon keenam.
Kemenangan bersejarah itu tidak datang dengan mudah, sebaliknya Roddick memaksa Federer beraksi dalam pertarungan akhir Wimbledon paling panjang sebelum mengaku kalah.
Federer, 27, yang mengumpul enam kejuaraan Wimbledon, lima gelaran Amerika Syarikat, tiga trofi Terbuka Australia dan satu Terbuka Perancis mengatasi rekod 14 kejuaraan Grand Slam yang sebelum ini dikongsi bersama legenda tenis Amerika Syarikat, Pete Sampras.
Malah, kemenangan ini juga membolehkan bintang Switzerland itu merampas kembali takhta No. 1 dunia daripada jaguh Sepanyol, Rafael Nadal, pemain yang mengecewakannya dalam saingan akhir, tahun lalu.
Selain Sampras, turut menjadi saksi kejayaan bersejarah Federer di Kelab Seluruh England semalam ialah legenda tenis Australia, Rod Laver dan bintang tenis Sweden, Bjorn Borg.
Sebelum turun ke gelanggang, Federer sudah pun melakar sejarah dengan muncul pemain pertama melangkah ke final Wimbledon selama tujuh tahun berturut-turut.
Bagaimanapun semalam, Roddick memberikan tentangan yang mendebarkan apabila mengejar rapat Federer pada setiap set, malah memberi kejutan awal dengan memenangi set pertama.
Pada ketika Roddick mempamer semangat juang luar biasa, Federer mula menunjukkan ketahanan mental dan fizikal kental untuk mengecewakan pencabar dari Amerika Syarikat itu.
Bagi Roddick, kekalahan ini meranapkan impiannya untuk merangkul gelaran Grand Slam kedua selepas muncul juara Terbuka Amerika Syarikat 2003.
Ini juga adalah kekalahan ketiga jaguh Amerika Syarikat itu di tangan Federer dalam perlawanan akhir Wimbledon selain turut kalah pada 2004 dan 2005. - AFP
No comments:
Post a Comment