LONDON: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, akan berdepan ujian getir pertama tanpa kelibat Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez dalam aksi pembukaan musim Perisai Komuniti menentang Chelsea, esok, jam 9.55malam waktu Malaysia.
Selepas menghabiskan bulan lalu dengan perlawanan persahabatan pra-musim di seluruh dunia yang lebih seperti sesi latihan, Ferguson kini sedia untuk menangani urusan serius di Wembley.
Ketika Ferguson mahupun pengendali baru Chelsea, Carlo Ancelotti, tidak akan memandang berat keputusan aksi pembuka tirai musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, pengurus dari Scotland itu pastinya mahu melihat petanda betapa United mampu hidup tanpa dua bintang yang memainkan peranan penting sejak dua musim lalu.
Jumlah 67 gol Ronaldo sepanjang tempoh itu memainkan peranan penting di sebalik kejayaan United di kancah EPL dan Liga Juara-Juara Eropah, ketika kemampuan Tevez menyumbang gol penting ketika masuk sebagai pemain gantian menukar banyak aksi berpihak buat United.
Rekod yuran perpindahan dunia berjumlah 80 juta pound (RM464 juta) mengurangkan kesan pemergiannya ke Real Madrid, tetapi peralihan Tevez ke Manchester City masih meninggalkan kesan kurang baik di Old Trafford.
Kini Ferguson boleh menguji pengganti mereka seperti Michael Owen dan Antonio Valencia dalam suasana lebih kompetitif sebelum kempen liga domestik bermula pada 15 Ogos.
Sebenarnya, Ferguson tahu hampir mustahil untuk menggantikan bakat unik seperti Ronaldo dan Tevez. Sebaliknya, dia akan menguji aturan taktik untuk menjelmakan aksi terbaik daripada Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan pemain lain seperti Anderson dan Nani.
"Halangan sentiasa jadi faktor penting dalam usaha membentuk dan meningkatkan pasukan," katanya.
"Saya sentiasa bertindak balas baik terhadap halangan sejak sekian lama dan setiap kali kami kalah sesuatu perlawanan, saya beritahu pemain bahawa aksi seterusnya ialah yang paling penting - perlawanan yang kami perlu fokus. Itulah keadaannya di kelab ini." - AFP
Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia
3 days ago
No comments:
Post a Comment